GUA MUSANG: Kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, Pos Lebir dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah liar dengan bertindak merosakkan tanaman yang terdapat di dalam kawasan sekolah mereka, Jumaat lepas.
Guru Besar Mat Ail Ibrahim, 53, berkata kejadian tersebut merupakan pertama kali berlaku dalam kawasan sekolah dan merosakkan pokok pisang yang ditanam oleh guru-guru di hadapan kuarters sekolah terbabit.
Mat Ail dan kakitangan lain khuatir kejadian itu akan berulang dan melibatkan kerosakan yang lebih besar termasuk harta benda, selain membahayakan keselamatan guru dan pelajar.
“Sekolah saya dimasuki gajah liar setinggi kira-kira lebih enam kaki pada 11 malam Jumaat lepas melalui pagar belakang di tepi padang sekolah. Sebelum ini, ia hanya berada di luar sekolah dan merosakkan tanaman penduduk, pokok getah dan kebun Orang Asli.
“Lebih sejam kami berada dalam keadaan ketakutan, sebelum gajah itu berjaya dihalau oleh tok batin setelah dihubungi oleh seorang daripada kakitangan sekolah,“ katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Tuan Almadi Tuan Kasim, 50, berkata kerosakan dan daun-daun pisang bertaburan dapat dilihat menjelang subuh ketika beliau keluar untuk mengejutkan murid yang tinggal di asrama.
“Sepanjang lima tahun berkhidmat di sini, saya ada dengar cerita berkenaan kehadiran gajah di penempatan ini tetapi apabila gajah telah masuk hingga dalam sekolah dan berlegar-legar di sini saya menjadi lebih risau dan takut. Rasanya ada lima ekor gajah tetapi yang masuk hanya seekor.
“Kita harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengesan keberadaan gajah ini dan mencari alternatif untuk menghalang haiwan ini daripada memasuki kawasan kampung dan sekolah,“ katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berharap masalah ancaman haiwan liar ini dapat ditangani dengan kadar segera sekiranya pejabat Perhilitan dapat dipindahkan ke daerah ini.
“Laporan kes ancaman di Gua Musang lebih banyak berbanding kawasan bandar jadi cadangan ini saya lihat adalah relevan. Bagaimanapun untuk perancangan jangka masa pendek mungkin Perhilitan boleh menghantar lebih banyak anggota terlatih untuk berada di sini,“ katanya. –Bernama
