PEKAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (gambar) hari ini bertitah supaya kerajaan menyegerakan projek tebatan banjir yang telah dirancang di Pahang dan jangan mempolitikkan usaha itu.
“Saya harap (dalam tempoh) jangka panjang kerajaan harus percepatkan projek-projek tebatan banjir, yang telah dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang, dan saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini, seelok-eloknya ambil secara serius dan urgent untuk bina tebatan banjir di seluruh Pahang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1 di sini. Turut berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli, Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Hafizah Zakaria dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.
Dalam titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan, Seri Paduka mengingatkan pelaksanaan projek-projek berkenaan perlu diambil serius oleh pihak bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. -Bernama
