PADANG BESAR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perlis akan mempergiat usaha mendekati warga emas untuk membantu golongan itu mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menerusi penubuhan Skuad Jelajah.
Pengarah DOSM Perlis Hamka Ismail berkata skuad itu akan pergi ke kawasan yang terdapat ramai warga emas bagi memastikan golongan itu juga tidak ketinggalan daripada mendaftar dalam sistem PADU, sekali gus dapat memudahkan mereka menerima bantuan sewajarnya.
“Pembukaan kaunter PADU akan diperluas ke kawasan tumpuan lain termasuk rumah orang tua di Perlis,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau kaunter PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Rimba Mas dekat sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 8,000 penduduk Perlis membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat dalam sistem PADU setakat ini. -Bernama
