MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mencadangkan konsep perniagaan uptown bagi membantu peniaga makanan dan kraftangan di bangunan Medan Samudera meneruskan perniagaan sepanjang tempoh 54 jam penutupan jalan sempena Zon Bebas Kenderaan.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata konsep perniagaan itu lebih relevan dan memudahkan peniaga mempromosikan produk jualan mereka secara terus kepada pengunjung yang berjalan kaki di laluan berkenaan.
“MBMB memerlukan kerjasama semua peniaga yang berada di Medan Samudera untuk melaksanakannya bersama-sama… kita berharap wakil daripada peniaga di medan berkenaan dapat berbincang dengan MBMB berhubung pelaksanaannya.
“Kita telah laksanakan kaedah ini di sekitar Bangunan Merah (Stadthuys) dan kita dapat lihat keberkesanannya iaitu peniaga terlibat dapat menikmati limpahan ekonomi kesan penutupan Zon Bebas Kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Pesta Gendang Nusantara 2024 di Dataran MBMB di sini malam tadi.
Menurut Shadan, konsep uptown itu akan dilaksanakan secara teratur antaranya dengan penggunaan payung yang seragam selain mengutamakan kebersihan tapak perniagaan agar tidak mencacatkan pemandangan lokasi tumpuan pelancongan itu.
Shadan berkata berdasarkan Crowd Monitoring System yang dipasang di sekitar Banda Hilir, purata kehadiran pengunjung berjalan kaki di kawasan berkenaan adalah sebanyak 18,000 pada setiap hari pelaksanaan inisiatif itu.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 100 peniaga makanan dan cenderamata di Medan Samudera masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri terhadap cadangan peniaga supaya pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan melibatkan penutupan jalan termasuk di hadapan medan tersebut dipendekkan daripada 54 jam kepada 18 jam.
Pelaksanaan zon berkenaan sebelum ini adalah pada setiap Sabtu bermula 6 petang hingga 12 tengah malam dan dilanjutkan kepada 54 jam bermula 6 petang setiap Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.
Peniaga terlibat berharap cadangan memendekkan tempoh pelaksaan Zon Bebas Kenderaan itu dapat dipersetujui berikutan dakwaan operasi peniagaan di Medan Samudera terjejas sejak pelaksanaannya dilanjutkan. -Bernama
