MB Johor nasihat orang ramai peka amaran hujan lebat berterusan

MB Johor nasihat orang ramai peka amaran hujan lebat berterusan

JOHOR BAHRU: Rakyat di negeri ini diminta supaya sentiasa peka terhadap amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai hujan lebat berterusan pada tahap buruk yang dijangka berlaku di beberapa daerah hingga Ahad ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) dalam hantaran menerusi Facebook berkata hujan lebat berterusan pada tahap buruk itu dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Beliau berkata hujan berterusan pada tahap waspada pula dijangka berlaku di Batu Pahat dan Pontian.

“Saya telah menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi bahawa hujan lebat berterusan hingga Ahad (7 Jan).

“Saya mohon agar seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa dan terus menjaga keselamatan diri dan keluarga,“ katanya.

Sementara itu, hujan lebat berterusan berlaku di beberapa daerah antaranya Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru, sejak malam tadi sehingga kini.

Jabatan Kerja Raya Kota Tinggi menerusi Facebook memaklumkan dua laluan di daerah itu iaitu di Felda Semenchu (Rumah Pam) dan Teluk Sengat ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik hingga 0.75 meter dan arus deras.

Jalan Kota Tinggi-Kluang (Batu 25), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Sungai Semalok) dan Jalan Lukut Cina-Batu Ampat (Taman Aman) pula hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *