KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bersedia menyahut cabaran untuk mempamerkan aksi konsisten dalam memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.
Pasangan muda itu mengakui memerlukan sedikit masa kerana masih banyak yang perlu diperbaiki untuk mampu setanding dengan beregu utama dunia lain, selepas mereka digandingkan setahun yang lepas.
“Prestasi kami ada naik dan turun, jadi selepas ini kami kena lebih konsisten kerana pemain dalam 10 terbaik dunia semuanya konsisten dan jarang beraksi kurang baik.
“Mungkin ramai meletakkan harapan terlalu tinggi kepada kami, tetapi kami tidak melihatnya sebagai satu tekanan sebaliknya ambil sebagai motivasi,” kata Ee Wai kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky kecewa apabila Tang Jie-Ee Wei dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mara ke separuh akhir Final Jelajah Dunia (WTF) di Hangzhou, China baru-baru ini.
Rexy turut menggesa Tang Jie-Ee Wei untuk mengesahkan tiket ke Olimpik dengan secepat yang mungkin supaya mereka boleh mengurangkan penyertaan di kejohanan Jelajah Dunia, seterusnya fokus bagi persediaan temasya terbesar dunia itu.
Sejak digandingkan, pasangan itu telah mempamerkan prestasi yang baik hingga berjaya mencapai kedudukan 10 teratas dunia dan layak beraksi di WTF.
Hanya dua minggu selepas digandingkan juga, Tang Jie-Ee Wei berjaya meraih gelaran Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022, selain muncul juara dua kejohanan berstatus Jelajah Dunia 300 pada tahun ini iaitu Terbuka Taipei dan Orleans Masters.
Dalam pada itu, Ee Wei berkata biarpun gandingan mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan tahun ini, mereka tidak mahu terbuai dengan pencapaian sedia ada menjelang cabaran getir di Paris yang akan bermula 26 Julai tahun hadapan.
Menurut pemain berusia 23 tahun itu, pada masa ini beliau dan Tang Jie sedang membuat persiapan rapi untuk membuka kempen 2024 di Terbuka Malaysia bermula 9-14 Jan di Axiata Arena, di sini berdepan pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Kedua-duanya hanya berehat tiga hari selepas aksi di Hangzhou yang berlangsung pada 13-17 Dis lepas, sebelum kembali membuat persediaan bagi menggalas cabaran kempen baharu.–Bernama
