KUANTAN: Penerima rumah Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) diingatkan tidak menjual rumah mereka setelah memiliki kediaman kos rendah berkenaan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata harga rumah projek inisiatif kerajaan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) berkenaan ditetapkan pada RM35,000 seunit dan dikategorikan sebagai Perumahan Kos Rendah bagi membantu golongan itu mendapat kediaman mampu milik.
Selain itu, pemilik turut layak mendapat pengecualian pembayaran cukai duti setem, pengurangan deposit pendaftaran meter elektrik dan air.
“Tak boleh jual, kalau tidak usaha ini tidak capai matlamat kerana tujuan ia dilaksanakan untuk bagi keselesaan dan rumah kepada mereka…saya percaya mereka akan duduk rumah itu, kerajaan negeri akan pantau melalui persatuan nelayan dan sebagainya.
“Program ini juga satu usaha berterusan kerajaan untuk bantu nelayan kerana kita tahu ada antara mereka yang tak mampu memiliki rumah jadi kerajaan negeri bagi sebidang tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) untuk usahakan projek itu,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Fasa Tiga Projek Perumahan PSN Bunut Rendang kepada 16 penerima di sini, hari ini.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan 154 unit rumah dengan seramai 126 penerima fasa satu dan dua telah mendapat kunci rumah masing-masing pada tahun lepas dan 2020, manakala seramai 12 orang lagi akan menerima pada 2024.
Pada masa ini, beberapa fasiliti tambahan sedang dibina, antaranya dewan atau balai raya, gelanggang futsal, bangunan kedai, tadika dan stor nelayan yang dijangka akan siap pada tahun depan.
Sementara itu, Zulkifli Abdullah, 45, berkata beliau bersyukur apabila dapat memiliki sebuah rumah setelah sekian lama menunggu untuk mempunyai kediaman sendiri untuk berteduh bersama isteri dan tiga anaknya.
“Sangat gembira, sekarang saya dan keluarga menetap di rumah orang tua, selepas ini kami boleh berpindah di rumah sendiri. Terima kasih kepada semua pihak yang berusaha sehingga kami dapat sebuah rumah hari ini,“ katanya.
Bagi Mohd Zulkifli Jusoh, 52, beliau menghargai usaha kerajaan sehingga golongan kurang berkemampuan dapat mempunyai sebuah rumah dengan harga yang rendah.
“Terima kasih banyak kerana tolong kami, akhirnya ketika berusia lebih 50 tahun saya dapat juga untuk miliki kediaman sendiri,“ kata bapa kepada sembilan anak itu.–Bernama
