TOKYO: Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun sempena sidang kemuncak peringatan ASEAN-Jepun berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion.
Anwar berkata pertemuan beliau dengan pelbagai pihak di Jepun termasuk rakan sejawatannya Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu dari segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi.
“Lawatan ke Jepun berjaya dan membanggakan, berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion,” katanya pada sidang akhbar mengakhiri lawatan beliau ke Jepun, di sini, hari ini.
Menurutnya, ia merupakan tambahan kepada potensi pelaburan bernilai RM23 bilion semasa lawatan delegasi Malaysia ke Jepun sebelum ini pada Jun. Potensi pelaburan kumulatif daripada lawatan ke Jepun pada tahun ini berjumlah RM29.56 billion.
Tiga syarikat korporat Jepun Rohm Wako, NEC Co Ltd and Mitsui & Co yang mempunyai pelaburan di Malaysia juga menunjukkan kesediaan untuk menambah pelaburan semasa pertemuan bersemuka pada Sabtu lepas. -Bernama
