Kelantan bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM1.6b, defisit RM178.49 juta

Kelantan bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM1.6b, defisit RM178.49 juta

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.61 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM178.49 juta.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (gambar) berkata biarpun belanjawan bertemakan ‘Kelantan Mampan Berkat Sejahtera’ adalah bajet defisit namun kerajaan akan memberikan keutamaan kepada projek atau program yang dapat merangsang kemakmuran negeri serta memangkin kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri mencadangkan Belanjawan 2024 dengan pecahan anggaran perbelanjaan mengurus dijangka RM1.15 bilion atau 70.98 peratus manakala perbelanjaan pembangunan RM468.36 juta (29.02 peratus),” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.

Mohd Nassuruddin berkata belanjawan itu menjurus kepada lima teras utama iaitu pemerkasaan agama dan pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM208.92 juta, rakyat sejahtera (RM375.61juta), ekonomi progresif (RM 349.7 juta), melestarikan alam sekitar (RM12.80 juta) dan ihtirafi tadbir urus (RM21.85 juta)

Menurut Mohd Nassuruddin anggaran hasil negeri pada 2024 dijangka diperoleh sebanyak RM967.25 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM224.94 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM364.05 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM378.26 juta.

Beliau berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan dalam hasil sebanyak RM15.89 juta iaitu sebanyak 1.62 peratus berbanding anggaran hasil pada 2023 iaitu sebanyak RM983.14 juta.

“Hasil tanah adalah penyumbang terbesar dengan jumlah RM377 juta iaitu sebanyak 38.98 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM20.72 juta iaitu sebanyak 5.81 peratus berbanding anggaran pada 2023 sebanyak RM356.28 juta,” katanya.

Menurut Mohd Nassuruddin terimaan daripada Kerajaan Persekutuan dianggarkan berjumlah RM331.7 juta iaitu pengurangan sebanyak 15.10 peratus berbanding pada 2023 iaitu sebanyak RM390.70 juta dalam bentuk geran-geran peruntukan kepada Perbendaharaan Negeri yang menjadi hak negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Terima dari lain-lain hasil sebanyak RM 99.93 juta,” katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *