KUALA LUMPUR: Kerajaan berazam untuk menguasai pasaran kenderaan elektrik (EV) Asean yang dijangka mencecah US$2.7 bilion menjelang 2027 berbanding US$500 juta pada 2021, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar).
Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan daya saing dalam menarik pelaburan bernilai tinggi, yang kini telah memiliki ekosistem komprehensif bagi industri EV dan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV).
“Dalam mendapatkan asas yang tepat untuk ekosistem NxGV, kita sedang membina infrastruktur yang sesuai bagi mencapai sasaran kita supaya EV dan hibrid menyumbang 20 peratus jualan kereta baharu menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050,“ katanya pada pelancaran E-Mobility Asia 2023.
Tengku Zafrul berkata kerajaan mempunyai dasar yang kukuh sejak 50 tahun lepas, dan telah membangunkan industri elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya semikonduktor yang bertapak kukuh dalam rantaian bekalan global.
Semikonduktor berfungsi dalam mengupayakan EV menjadi lebih pintar dan selamat, menyokong masa depan yang lebih hijau.
Beliau berkata Malaysia menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global dan 13 peratus ujian dan pembungkusan cip global.
Justeru, beliau berkata MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat mendorong untuk lebih banyak pelaburan dalam semikonduktor.
Antara 2018 dan Jun 2023, MIDA meluluskan 59 projek bernilai RM26.2 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitan untuk pemasangan kenderaan, bahagian pembuatan dan komponen pengecasan.
“Malaysia telah menjadi destinasi yang sangat menarik di rantau ini untuk semua pelabur EV kerana kelebihan ekosistem sedia ada ini yang sangat kondusif untuk pembangunan EV dan komponen berkaitannya.
“Ini adalah faktor yang menarik untuk nama besar seperti Tesla, yang mengumumkan kemasukannya ke negara ini, menyertai pengeluar kereta global seperti Geely, Chery dan BYD dari China, Hyundai dari Korea Selatan, serta Mercedes Benz dan BMW dari Eropah, yang sudah pun berada di pasaran Malaysia,“ katanya.
Beliau menganggap Malaysia masih jauh lagi untuk memastikan ekosistem EV yang mantap, seperti membangunkan grid yang lebih hijau dan rangkaian pengagihan kuasa yang berkaitan.
“Paling penting, rangkaian luas penyelesaian mobiliti baharu mampu menggalakkan pemindahan teknologi dan inovasi untuk PKS (perusahaan kecil dan sederhana) kami, serta pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia,“ katanya.
Beliau berkata MITI sentiasa menyemak dasar bagi memastikan ekosistem EV Malaysia bersifat holistik dan disokong sepenuhnya untuk menarik pelaburan peringkat tinggi.
“Kami berharap dapat menarik lebih ramai pelabur EV multinasional, NxGV dan tenaga boleh diperbaharui (RE) ke Malaysia untuk menjadi rakan kongsi pertumbuhan kami dalam membangunkan rantaian bekalan EV Malaysia yang kukuh bagi memenuhi keperluan pasaran serantau dan global.
“Bagi mencapat matlamat itu, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan jiran-jiran kami di Asean – sama ada mereka dari Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina atau Indonesia – untuk melengkapi kekuatan masing-masing supaya kami dapat memanfaatkan rantaian bekalan yang telah beralih terus kepada kami (Asean),“ katanya.
Beliau berkata kerajaan akan memulakan operasi Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Isnin depan, lebih awal berbanding yang dijadualkan pada Januari agar dapat memudahkan komuniti perniagaan dan pelabur.
IMFC ialah pusat sehenti untuk mempercepatkan proses kelulusan, termasuk penyediaan khidmat perundingan dan nasihat, serta mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Inisiatif ini adalah penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA dan selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai rancangan pembinaan jambatan darat Thailand bernilai US$28 bilion untuk mengangkut kargo merentasi Selat Melaka, beliau berkata masih terlalu awal untuk mengulas kesannya terhadap Malaysia.
“Kita akan menunggu butiran selanjutnnya. Tetapi sekali lagi, ada kebaikan dan keburukan, kerana kita masih memerlukan (hubungan) kedua-dua darat dan laut,“ katanya menjawab soalan mengenai kesan pembinaan jambatan itu terhadap pelabuhan Malaysia. -Bernama
