5,531 kenderaan di Johor dikenakan tindakan dalam Op Patuh Bersepadu

5,531 kenderaan di Johor dikenakan tindakan dalam Op Patuh Bersepadu

JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,531 kenderaan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor atas pelbagai kesalahan dalam Op Patuh Bersepadu, bermula 1 Nov lepas hingga semalam.

Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan dalam kenyataan berkata operasi bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu turut merekodkan 9,996 notis JPJ selain 98 kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata antara kesalahan dilakukan ialah tiada lesen memandu sebanyak 2,382 kes, lesen kenderaan motor tamat tempoh sebanyak 1,826 kes dan lain-lain kesalahan melibatkan 854 kes kesalahan teknikal.

“Kesalahan teknikal berkenaan adalah seperti pengubahsuaian terhadap kenderaan, mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, tidak selenggara tayar dengan baik dan lain-lain,“ katanya.

Azmil berkata pelaksanaan penguatkuasaan secara kolaborasi strategik itu bertujuan untuk memaksimumkan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan oleh pengendali motosikal serta pemandu kenderaan, ke arah membudayakan pematuhan undang-undang.

“Ia khususnya kesalahan pengubahsuaian pelbagai aspek spesifikasi keselamatan teknikal yang tidak dibenarkan termasuk tingkah laku pemanduan berisiko atau berbahaya yang menjadi punca kemalangan dan kematian.

“JPJ Johor menyeru kepada orang awam untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta toleransi kepada pengguna jalan raya lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya,” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan aduan secara terus dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran lengkap. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *