Isu Palestin: Polis tidak terima laporan ugutan, keselamatan negara terjamin – KPN

Isu Palestin: Polis tidak terima laporan ugutan, keselamatan negara terjamin – KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan ugutan secara langsung mahupun tidak langsung susulan pendirian dan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun, PDRM masih mengumpul maklumat dan risikan sekiranya terdapat ancaman dari pihak luar berhubung perkara itu.

“Setakat ini situasi negara berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Razarudin berkata demikian ketika ditanya sama ada polis menerima laporan ugutan daripada mana-mana pihak berikutan kelantangan Malaysia yang berpihak kepada Palestin.

Malaysia antara negara yang lantang menggesa dunia mengambil tindakan segera untuk menamatkan serangan rejim Israel terhadap penduduk di Semenanjung Gaza, mengakibatkan kini lebih 11,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 29,000 yang lain cedera sejak 7 Okt lepas.

Pada 24 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil mendedahkan beliau menerima banyak ugutan dari negara luar susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Susulan pendedahan Perdana Menteri itu, media melaporkan PDRM akan mengumpul maklumat sekiranya terdapat aktiviti membabitkan ejen perisikan Mossad di negara ini.

Terdahulu, sebanyak 538 Inspektor pelatih melibatkan 103 wanita dan 435 lelaki menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor hari ini selepas mengikuti latihan asas selama sembilan bulan bermula 19 Feb lepas.

Pada majlis itu, Insp Khairul Anwar Khalid diumum sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan manakala Insp Nurul Nadhirah Muhamad Radzi muncul Pelatih Terbaik Akademik sementara Insp Muhammad Amir Faris Basri dan Insp Dayang Siti Aishah Awang Ramli masing-masing muncul Pelatih Terbaik Latihan Luar lelaki dan wanita.

Khairul Anwar, 26, berkata minat dan sukakan cabaran mendorongnya untuk menyertai PDRM walaupun mempunyai profesion lain sebelum ini.

“Saya sama sekali tidak menyesal menyertai PDRM walaupun telah berkhidmat sebagai jurutera selama dua tahun di sebuah syarikat di Bangsar,” katanya yang berhasrat untuk sertai pasukan elit Unit Tindakhas PDRM untuk mencabar diri menjadi terbaik pada masa depan. – Bernama

Author:

1 thought on “Isu Palestin: Polis tidak terima laporan ugutan, keselamatan negara terjamin – KPN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *