PONTIAN: Kira-kira 300 orang di sekitar daerah ini dan berdekatan memanfaatkan Jualan Rahmah di Pasaraya Target, Benut dekat sini, untuk membeli barangan keperluan pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.
Tinjauan yang dilakukan Bernama mendapati selain barang keperluan yang dijual jauh lebih murah, bekalan barangan juga dilihat mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan selama dua hari jualan itu diadakan.
Dua beradik yang berasal dari Kampung Puteri Menangis di sini, Norerna Md Sariyan, 28, dan Norfaradila Md Sariyan, 32, berkata inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan dilihat sebagai satu daripada cara untuk meringankan beban rakyat.
Kata Norerna, dia dapat membeli 10 kilogram beras dengan harga RM28.99 berbanding harga pasaran sekitar RM40.
“Saya berharap jualan ini akan dapat diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin sebulan diadakan sekurang-kurangnya sekali,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Bagi Haslina Selamat, 51, dia datang ke Jualan Rahmah pada hari ini untuk mendapatkan telur memandangkan harga yang ditawarkan lebih rendah kira-kira 10 peratus daripada harga biasa.
“Hari ini saya dapati sepapan telur harganya ialah RM11.99 berbanding RM12.79 kebiasaannya, dapatlah saya beli dua papan telur serta beberapa barangan keperluan yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Noor Diyana Mohammad Khir, 31, dan Muhammad Kahmim Basir, 31, sememangnya menunggu Jualan Rahmah berkenaan diadakan hari ini untuk membeli pelbagai barangan keperluan seperti makanan kering, ayam, sayuran dan sabun basuh.
Bagi Eksekutif Pasaraya Target Benut Neo Lay Yieng, Jualan Rahmah yang diadakan pihaknya dua bulan sekali itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pontian.
“Ketika jualan ini berlangsung, jumlah pelanggan akan meningkat dua kali ganda dan persediaan awal mendapatkan stok barangan perlu dilakukan. Pihak kami akan terus menyokong inisiatif ini pada masa akan datang,” katanya. – Bernama
Wow, fantastic blog format! How long have you ever been running a blog for?
you make running a blog look easy. The full look of your website is
wonderful, let alone the content material! You can see similar here ecommerce