Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM2.53b

Kerajaan Selangor bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM2.53b

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM2.53 bilion dengan anggaran defisit berjumlah RM330 juta, pengurangan sebanyak RM120 juta berbanding pada 2023 (RM450 juta).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Negeri Selangor hari ini berkata sebanyak RM1.33 bilion (52.6 peratus) diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion (47.4 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan daripada jumlah peruntukan belanjawan berkenaan.

Beliau berkata tahun hadapan, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion, ia diunjur berdasarkan kepada ‘track record’ (rekod prestasi) sebelum ini iaitu hasil berjumlah RM2 billion dikutip masing-masing pada Ogos 2022 dan September 2023.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri pada 2024 adalah premium tanah berjumlah RM890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan manakala penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah sebanyak RM622.65 juta bersamaan 28.3 peratus,“ katanya.

Amirudin berkata penyumbang ketiga terbesar adalah menerusi pemberian Kerajaan Persekutuan berjumlah RM212.96 juta bersamaan 9.7 peratus daripada pendapatan pada tahun hadapan.

Walaupun melaksanakan Belanjawan Defisit sejak enam belanjawan lepas, kerajaan negeri akan mengambil langkah bagi mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan, katanya.

Beliau berkata bagi anggaran perbelanjaaan mengurus sebanyak RM1.33 bilion adalah merangkumi perbelanjaan bagi emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian serta kenaan bayaran tetap dan perbelanjaan lain.

Dalam pada itu, perbelanjaan pembangunan 2024 sebanyak RM1.2 bilion akan memberi tumpuan terhadap sektor sosial sebanyak RM359.17 juta, ia sebagai persediaan selepas mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi termasuk jangkaan ketidakstabilan ekonomi kesan daripada krisis di Timur Tengah, katanya.

Persedian itu termasuk menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumkan kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar serta keterjaminan makanan sebagai teras kesejahteraan rakyat, kata Amirudin.

Selain itu, menurutnya sektor infrastruktur diperuntukkan sebanyak RM357.10 juta daripada keseluruhan peruntukan yang dicadangkan adalah lebih tinggi berbanding peruntukan infrastruktur diluluskan pada 2023 bagi memastikan infrastruktur di Selangor akan terus dipertingkatkan.

Beliau berkata sebanyak RM296.13 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi manakala selebihnya iaitu RM187.6 juta adalah dicadangkan untuk kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.

Bertema ‘Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan’, belanjawan itu akan akan digerakkan melalui empat teras utama iaitu Pemangkin Pelaburan Berkualiti, Menjana Pendapatan Tinggi; Mengangkat Pendidikan Bestari, Menjamin Alam Sekitar Lestari; Menaungi Kebajikan Rakyat dan Mengangkat Kesatuan Ummah.

Sementara itu, Amirudin berkata tahun 2024 merupakan tahun dianggap bertuah bagi Kerajaan Selangor kerana mempunyai kebebasan kewangan yang cemerlang ketika ini dan kerajaan negeri dijangka melunaskan sepenuhnya hutang dengan Kerajaan Persekutuan pada tahun depan.

“Berdasarkan rekod terkini, baki hutang kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM19,207,475.78 yang terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS).

Amirudin memberitahu komitmen penyelesaian liabiliti hutang oleh kerajaan negeri pada 2024 adalah rendah yang hanya melibatkan penyelesaian baki ansuran akhir Skim ASAS berjumlah RM1,893,379.47.

“Baki pinjaman Projek Bekalan Air pula adalah sebanyak RM17,314,096.31.

“Secara jelasnya ia telah termaktub dalam Perjanjian Penyelesaian Global berkenaan penstrukturan industri air Selangor akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang hanya memerlukan tindakan urusan dokumentasi. Ia sedang dalam tindakan PAAB untuk diselesaikan sepenuhnya,“ katanya.

Beliau berkata Kerajaan Selangor menerusi kelebihan kebebasan kewangan berkenaan berjaya membuktikan tatakelola terbaik dalam menguruskan sumber kewangan tanpa menjejaskan ketangkasan perkhidmatan dalam meningkatkan darjat hidup rakyat negeri melalui Belanjawan Negeri 2024. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *