KOTA BHARU: Hampir 200 nelayan di Kampung Pulau Gajah, di sini, masih dapat melakukan rutin harian mencari hasil laut walaupun musim Monsun Timur Laut (MTL) diramalkan bermula bulan ini.
Yusoh Omar, 64, berkata pada Oktober tahun lepas, dia dan rakan-rakan sudah tidak boleh turun menangkap ikan kerana hujan lebat dan laut bergelora yang membahayakan keselamatan mereka.
“Alhamdulillah, setakat hari ini saya dan rakan-rakan nelayan yang lain masih dapat turun ke laut untuk mencari rezeki, malah kami sentiasa berwasapa serta mengambil maklum situasi semasa mengenai MTL.
“Kalau nak dibandingkan tahun lepas, bulan Oktober memang dah tak boleh turun ke laut sehingga kami terpaksa isi masa lapang dengan jahit pukat, baiki bot dan sebagainya,“ katanya kepada pemberita di kampung berkenaan hari ini.
Turut senada, Zakaria Abd Rahman, 67, berkata walaupun hasil tangkapan ikan tahun ini tidaklah terlalu banyak berbanding tahun sebelumnya, dia tidak pernah pulang dengan ‘tangan kosong’ dan mampu untuk menyara keluarga.
“Semasa turun ke laut, kami akan beli minyak diesel RM20 untuk pergi dan balik, pendapatan kami dapat kira-kira RM700 sebulan, jadi hasil yang dapat ini betul-betul cukup makan sahaja, nak menyimpan tu susah sikitlah.
“Tahun ini boleh dikatakan agak mencabar jugalah untuk kami para nelayan kerana banyak faktor luar jangka berlaku di laut mungkin kerana perubahan cuaca dan sebagainya,“ katanya yang menjadi nelayan lebih 40 tahun lepas.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula Nov 2023 hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko. – Bernama
