Lebih 100,000 laporan polis diterima libatkan jenayah komersial, kerugian RM1.7b

Lebih 100,000 laporan polis diterima libatkan jenayah komersial, kerugian RM1.7b

KUALA LUMPUR: Sebanyak 125,169 laporan polis diterima sejak Januari hingga 22 Okt lepas membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan nilai kerugian berjumlah RM1.7 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (gambar) berkata daripada jumlah itu sebanyak 33,269 kertas siasatan telah dibuka.

“Sepanjang minggu kajian dari 16 hingga 22 Okt lepas, sejumlah 891 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.

“Daripada jumlah 891 itu, kes-kes jenayah komersial bersindiket mencatat sejumlah 620 kes bersamaan 69.6 peratus,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Ramli berkata kes penipuan belian secara dalam talian mencatat jumlah tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan nilai kerugian RM3.8 juta, manakala kes penipuan pelaburan turut merekodkan jumlah kes yang tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21 juta.

Beliau berkata perkembangan teknologi semasa telah memperlihatkan wujudnya pelbagai modus operandi penipuan baharu yang memberi ancaman kepada masyarakat.

“Dalam usaha untuk membantu mengurangkan kes-kes berkaitan penipuan, masyarakat digalakkan untuk sentiasa cakna dengan maklumat dan informasi jenayah komersial yang sentiasa disampaikan oleh polis dari semasa ke semasa melalui pelbagai medium penyampaian,” katanya yang turut menggesa orang ramai supaya menyebarluaskan maklumat berkaitan jenayah komersial. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *