KUANTAN: Polis Pahang melupuskan pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM4.5 juta yang dirampas dalam tempoh 15 tahun bermula 2008.
Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua dadah berkenaan akan dilupuskan esok di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan oleh kontraktor daripada syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd.
Beliau berkata pelupusan itu melibatkan 12 jenis dadah antaranya methamphetamine seberat 6.1 kilogram (kg), kanabis (1.3 kg), heroin 707.5 gram (g), ketamin (36.14 g) selain daun dan air ketum masing masing seberat 398 kg dan 5,853 liter.
“Dadah berkenaan dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes juga telah tamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Yahaya turut memaklumkan bermula awal bulan ini hingga Isnin lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang telah menahan 970 individu melibatkan pelbagai kesalahan dadah menerusi 615 operasi di seluruh negeri.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Pahang dan saya berharap kita dapat menggembleng tenaga serta kepakaran dalam menangani masalah dadah ini,” katanya. – Bernama
