Kelantan sasar sejuta benih udang galah, ikan dilepas ke Sungai Kelantan tahun hadapan

Kelantan sasar sejuta benih udang galah, ikan dilepas ke Sungai Kelantan tahun hadapan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasarkan satu juta benih udang galah dan pelbagai spesis ikan air tawar, akan dilepaskan ke Sungai Kelantan pada tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau berkata program kerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia itu, merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan stok ikan darat sentiasa ada di sungai-sungai utama.

“Pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat secara konsisten, secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi dan pendapatan nelayan darat.

“Program pelepasan benih ikan ini, turut memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat, untuk generasi akan datang,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI@Peladang Outlet Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan di sini, hari ini.

Tuan Mohd Saripudin berkata di peringkat negeri, program itu dilaksanakan bermula 2019 lagi, di mana kira-kira 3.77 juta benih ikan seperti kelah, sebarau, lampam sungai, baung, siakap dan udang galah dilepaskan ke perairan sungai-sungai utama.

Beliau berkata tahun ini, kira-kira 150,000 benih udang galah dan 35,000 benih spesis lampam dan baung telah dilepaskan sebagai usaha menambah stok ikan yang akan meningkatkan keterjaminan makanan di negeri itu. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *