IPOH: Seorang bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan lemas di Sungai Perak di Kampung Bukit Sapi, Lenggong, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan mayat Saiful Azhar Mohd Azhari, 27, pada 8.35 pagi.
“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong digegaskan ke lokasi bagi bantuan menyelamat.
“Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan berpakaian tersangkut di dahan pokok berhampiran sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Saiful Azhar yang dijadual menghadiri konvokesyen bulan depan dilaporkan hilang pada semalam.
Sebelum itu, motosikal anak sulung daripada tiga beradik dan masih bujang itu ditemukan di kawasan jambatan Kampung Sapi. -Bernama
