Belanjawan 2024: Tambah baik kemudahan, rawatan perubatan pengiktirafan buat Unit K9 JBPM

Belanjawan 2024: Tambah baik kemudahan, rawatan perubatan pengiktirafan buat Unit K9 JBPM

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Belanjawan 2024 merupakan satu pengiktirafan besar kepada unit berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad berkata apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut nama Blake, anjing unit K9 sebagai mukadimah peruntukan, ia sekali gus mengangkat nama unit itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum mengumumkan inisiatif khusus kepada unit K9 JBPM Jumaat lepas, mengingatkan semua pihak supaya mengingati Blake yang terlibat dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Dis 2022.

Anjing pengesan daripada baka English Springer Spaniel itu mati akibat barah limfoma pada 19 Sept lepas.

“Usaha kerajaan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 JBPM serta menambah bilangan anjing untuk unit ini adalah satu peluang untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatannya,“ katanya kepada Bernama.

Nor Hisham berkata ketika ini JBPM memiliki 30 ekor anjing pengesan iaitu enam di Sarawak, empat di Sabah manakala bakinya di ibu pejabat unit K9 di Jalan Klang Lama, di sini.

“Jika dilihat jumlah anjing K9 di Semenanjung ini dengan kes yang dihadapi agak membebankan, malah adakala haiwan ini terpaksa bergerak jauh, contohnya jika kes di Pulau Pinang… ini memberi tekanan kepada anjing terlibat,“ katanya.

Sehubungan itu, peruntukan RM5 juta dalam Belanjawan 2024 bagi menambah bilangan anjing pengesan akan membolehkan pasukan membuat penggantian dan pengembangan anjing dalam unit yang mempunyai empat disiplin iaitu penyiasatan kebakaran, wilderness, urban search and rescue serta cadaver.

Selain untuk JPBM, peruntukan RM5 juta yang diumumkan Perdana Menteri itu turut meliputi unit K9 polis dan kastam.

Beliau berkata penilaian prestasi dilakukan terhadap semua anjing dan jika ada yang tidak mencapai tahap ditetapkan, penggantian akan dibuat manakala untuk aspek pengembangan pihak JPBM bercadang membukanya di Johor dan di zon utara tanah air khusus untuk disiplin penyiasatan kebakaran dan cadaver.

“JBPM juga membuat permohonan untuk menambah pemegang anjing atau handler secara spesifiknya di Sarawak kerana kami sasarkan setiap anjing dikendalikan oleh hanya seorang handler atas faktor keserasian seterusnya memantapkan penugasan haiwan berkenaan,“ katanya.

Nor Hisham turut berharap kerajaan meluluskan permohonan pembinaan sebuah kandang kuarantin khas anjing K9 untuk mengasingkan haiwan yang baru selesai operasi bagi tujuan kawalan kesihatan dan mengelak risiko jangkitan sekiranya terdedah dengan penyakit sewaktu bekerja di lapangan.

“Kita tidak mempunyai kepakaran bagi isu kesihatan anjing pengesan dan buat masa ini bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk memantau tahap kesihatan anjing ini,” katanya sambil menambah kesihatan semua anjing K9 JPBM berada pada tahap memuaskan.-Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *