MOSCOW: Presiden Vladimir Putin (gambar) tiba di Kyrgyzstan pada Khamis, lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada Mac, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Putin dijadual bertemu rakan sejawatannya Sadyr Zhaparov dan menghadiri sidang kemuncak Commonwealth of Independent States (CIS), sebuah blok serantau yang dibentuk susulan kejatuhan Kesatuan Soviet.
Pemimpin Rusia itu dilaporkan berdepan tuduhan bertanggungjawab atas penculikan dan pengusiran kanak-kanak ke Rusia dari wilayah yang diduduki di Ukraine.
Menurut Moscow insiden itu sebagai pemindahan.
Menurut laporan, lawatan Putin itu bertujuan untuk terlibat dengan rantau yang terletak di persimpangan strategik antara Eropah dan Asia.
Pakar berpendapat bahawa Rusia telah kehilangan pengaruh di wilayah seperti Asia Tengah dan di selatan Caucasus sejak konflik dengan Ukraine meletus pada 24 Feb tahun lepas.
Menurut Kremlin, Putin dijangka menghadiri majlis untuk meraikan ulang tahun ke-20 pangkalan udara Rusia yang terletak di Kant. -Bernama
