Remaja 15 tahun ditahan curi duit tabung surau

Remaja 15 tahun ditahan curi duit tabung surau

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pecah tabung surau di Kampung Dalam Pupuh di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Kota Bharu Supt Mohd Suhaimi Ali berkata remaja itu diserahkan kepada polis oleh orang ramai pada 1.30 tengah hari selepas penjaga surau menemukan sebuah basikal di tepi surau, dipercayai milik remaja terbabit.

“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku lebih kurang 11.40 pagi apabila pengadu, seorang wanita berusia lewat 50-an yang juga penjaga surau berkenaan telah ternampak sebuah basikal di tepi surau dalam keadaan mencurigakan.

“Pengadu kemudian masuk ke dalam surau dan mendapati tabung surau dalam keadaan terbuka serta duit daripada tabung telah hilang. Dengan bantuan penduduk kampung, remaja lelaki terbabit berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Suhaimi berkata siasatan awal polis mendapati suspek yang juga seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini telah aktif melakukan kegiatan pecah tabung masjid dan surau sejak bulan lepas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Suspek akan dibawa untuk permohonan tahanan reman bagi tujuan siasatan lanjut,“ katanya. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *