Kunlavut dedah nasihat Chong Wei dalam kejayaannya rangkul juara dunia

Kunlavut dedah nasihat Chong Wei dalam kejayaannya rangkul juara dunia

HANGZHOU: Jaguh dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn, mendedahkan panduan daripada legenda Malaysia Datuk Lee Chong Wei memainkan peranan penting dalam kejayaannya merangkul gelaran juara dunia 2023 pada Ogos lepas.

Pemain berusia 22 tahun itu mengukir namanya sebagai pemain badminton Thailand pertama memenangi gelaran perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Namun, sebelum ke Copenhagen, Denmark untuk menyertai kejohanan dunia itu, beliau berpeluang bertemu dengan idolanya iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan naib juara dunia tiga kali, Chong Wei semasa acara Legends’ Vision Canada di Kanada.

“Beliau memberikan nasihat yang sangat bagus. Beliau seorang yang baik, membantu dan mengajar semua orang.

“Nasihat terbaik ialah mula menyerang apabila pihak lawan membuat kesilapan, serang dan dapatkan mata. Beliau juga menasihati saya supaya tidak bermain terlalu lama dan berlanjutan ke rubber set kerana ia akan membuatkan saya letih pada pusingan seterusnya,“ katanya ketika ditemui pada temasya Sukan Asia di sini.

Kunlavut berkata impian memegang gelaran kejohanan dunia sudah tercapai, kini matlamat seterusnya ialah merangkul gelaran All England dan pingat emas Sukan Olimpik.

Pemain nombor empat dunia itu juga bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk beliau mengubah gaya permainan defensif kerana pemain lain mula menganalisis perlawanannya, terutama setelah beliau meraih gelaran juara dunia.

“Semua orang tahu bagaimana beraksi dengan saya. Saya rasa perlu menukar persembahan dan lakukan lebih daripada pertahanan sahaja.

“Namun, saya bukanlah seorang yang terkenal atau bintang besar di Thailand. Saya masih boleh ke mana-mana, makan dan lain-lain. Tidak seperti peminat datang mengejar saya untuk mengambil gambar bagai seorang bintang,“ katanya berseloroh.

Kunlavut yang dimasukkan ke hospital selama tiga hari akibat influenza sebelum tiba di Hangzhou, menamatkan kempen Sukan Asianya pada pusingan ketiga selepas tewas kepada pemain perseorangan lelaki utama Malaysia Lee Zii Jia 21-10, 19-21, 6-21 di Gimnasium Binjiang semalam.

Beliau berkata dengan penyingkiran awal itu, beliau kini mempunyai masa untuk mempersiapkan diri bangkit semula pada tiga jelajah dunia akan datang – Terbuka Artik di Vantaa, Finland dari 10-15 Okt, Terbuka Denmark di Odense (17-22 Okt) dan Terbuka Perancis di Rennes (24-29 Okt). -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *