KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu digesa supaya mengambil langkah lebih agresif dalam memperkasakan Garis Panduan Pelancongan terutama melibatkan pelancong Muslim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang Zuraida Md Noor (gambar) berkata ia berikutan berlaku pelanggaran etika pemakaian melibatkan pelancong wanita Muslim yang dilihat mencolok mata seperti berseluar pendek, bersinglet dan tidak bertudung ketika berada di tempat awam.
Beliau berkata ia jelas melanggar Garis Panduan Pelancongan yang dilancar bersama Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan sebelum ini iaitu pelancong wanita Muslim hendaklah berpakaian menutup aurat.
“Saya menyaksikan sendiri pelancong wanita Muslim tanpa segan silu memakai seluar pendek, bersinglet, tidak bertudung. Malah semakin ramai berani memakai pakaian mencolok mata bersiar-siar di tempat pelancongan kita.
“Di sini terdapat dua kemungkinan sama ada masih ramai yang tidak tahu tentang garis panduan yang dikeluarkan kerajaan negeri atau mereka tahu tetapi semakin berani untuk tidak patuh akibat tiada penguatkuasaan,“ katanya dalam sesi perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Zuraida menggesa supaya pemantauan syariah dilaksanakan di seluruh negeri termasuk di hotel, pulau, pusat peranginan, pusat hiburan, pawagam dan sebagainya.
Menurut beliau usaha tersebut termasuk dalam agenda dakwah Islamiah dan komitmen kerajaan negeri dalam menuju Terengganu yang maju, berkat serta sejahtera.
“Bahkan industri pelancongan Terengganu juga telah mendapat pengiktirafan sebagai Destinasi Mesra Muslim melalui Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) dan Universal Crescent Standard Center (UCSC).
“Ia sebagai pemangkin untuk memperlihatkan Terengganu sebagai koridor pelancongan Islam antarabangsa dan hab destinasi Islam global,“ katanya. -Bernama
