Kerajaan pusat lulus peruntukan pembaikan infrastruktur di SJSM

Kerajaan pusat lulus peruntukan pembaikan infrastruktur di SJSM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan pusat telah meluluskan permohonan negeri untuk mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan di sekitar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, dekat Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Hanafiah Mat (gambar) berkata ia melibatkan kerja-kerja seperti pembaikan jalan, cerun dan jambatan yang sedang disiapkan secara berperingkat.

Beliau berkata permohonan tersebut telah diluluskan selepas beberapa siri mesyuarat dan lawatan tapak serta Mesyuarat Status Kerja Baik Pulih SJSM oleh Ketua Setiausaha Negara dijalankan pada 29 Ogos lepas.

“Banjir besar pada akhir Februari dan awal Mac menyebabkan kerosakan infrastruktur awam yang teruk di seluruh Terengganu termasuk di SJSM, Kenyir.

“Susulan itu, Menteri Besar telah membuat permohonan sebanyak RM135.642 juta pada 16 April lepas bagi mendapatkan peruntukan pembaikan jalan, cerun dan jambatan di seluruh Terengganu di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala kerosakan di bawah skop Jabatan Pengairan dan Saliran adalah berjumlah RM62.705 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata ketika ini kajian khusus juga sedang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama Universiti Tenaga Nasional (UniTEN) bagi mendapatkan mitigasi terbaik berkaitan isu pembentukan air mata air di kawasan bukit sekitar SJSM.

Semalam, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dilapor memaklumkan bahawa lapan empangan di seluruh negara termasuk Empangan Kenyir disahkan mengalami kerosakan yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *