HANGZHOU: Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia yakin untuk mencapai sasaran 27 pingat di sini, dengan saingan berbaki lapan hari lagi menjelang upacara penutup pada 8 Okt ini.
Keyakinan itu diluahkan oleh Ketua Kontinjen negara (CDM) Datuk Chong Kim Fatt (gambar), selepas menyaksikan semangat juang tinggi para atlet Malaysia yang telah meraih 18 pingat setakat tengah hari ini.
Beliau berharap semangat juang tinggi dan kecemerlangan yang dipamerkan oleh beberapa sukan seperti berbasikal, skuasy dan pelayaran sejak Sukan Asia Hangzhou 2022 membuka tirai pada 23 Sept lepas, dapat meningkatkan semangat atlet lain.
“(Hampir) kesemua sukan yang kita mengambil bahagian selepas ini mempunyai peluang untuk menyumbang pingat. Ada beberapa acara baru nak mula dan ada yang baru nak masuk ke peringkat pingat.
“Di sebalik sasaran, semangat juang yang dipamerkan atlet juga sangat dikagumi. Kawan-kawan dari negara lain juga telah memberikan pujian selepas melihat semangat kental atlet kita, contohnya pelumba berbasikal yang masih meneruskan perlumbaan walaupun cedera,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, hari ini.
Malaysia akan meneruskan buruan pingat dalam acara perseorangan dan beregu bagi sukan skuasy dan badminton, selain memanah, karate, hoki, e-sukan, olahraga, sepak takraw, ekuestrian dan terjun.
Setakat 2.30 petang ini, Malaysia menduduki tempat ke-13 carta pingat selepas meraih tiga emas, tiga perak dan 12 gangsa.
Pelayar Nur Shazrin Mohamad Latif menghadiahkan emas pertama menerusi acara ILCA 6 wanita, manakala dua lagi emas diperoleh menerusi Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam equestrian dressage individu dan pasukan skuasy wanita dibarisi Aifa Azman, Rachel Arnold, S Sivasangari dan Aira Azman.
Sementara itu, Kim Fatt berharap peruntukan untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditingkatkan dalam Belanjawan 2024, yang bakal dibentangkan pada 13 Okt ini.
“Lima tahun sejak Sukan Asia terdahulu, kita anggap prestasi sukan negara lain akan menurun selepas pandemik Covid-19, tetapi sebenarnya ia telah meningkat dengan negara lain meningkatkan perbelanjaan untuk sukan berprestasi tinggi.
“Berdasarkan 20 tahun penglibatan saya dalam sukan, selalunya KBS akan berada di kedudukan lima terbawah dalam peruntukan bajet. Kali ini kita harap peningkatan bagi sukan dan belia, ia pelaburan untuk masa depan, yang mana hasilnya hanya dapat lihat dalam jangka masa panjang…Mungkin 5-10 tahun akan datang,” katanya. – Bernama
