BENTONG: Sebanyak 50,000 tempat disediakan kepada generasi muda Felda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata peluang itu ditawarkan di lebih 1,300 institusi TVET kepada generasi kedua hingga kelima tanah rancangan, dengan kursus disediakan adalah bersesuaian dengan kehendak guna tenaga negara.
“Tentulah kursus yang diadakan tidak lagi mengikut kursus konvensional. Kita (kena) lihat bagaimana agensi dan syarikat yang menyediakan kerja…umpamanya kita mahu terlibat dalam bidang seperti pengurusan tempat peranginan, melancong, insurans atau bidang-bidang lain.
“Pada hemat saya kursus yang disediakan hendaklah sesuai dengan pasaran dan kehendak semasa bagi membolehkan mereka dapat memenuhi peluang pekerjaan yang luas,“ kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Dewa dan Wilayah semasa berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Felda Chemomoi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
– Bernama
