Rakyat zahir semangat patriotisme, cintakan negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2023

Rakyat zahir semangat patriotisme, cintakan negara pada sambutan Hari Kebangsaan 2023

PUTRAJAYA: Kibaran Jalur Gemilang mewarnai pekarangan dan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang disertai pelbagai lapisan masyarakat bersemangat patriotisme di Dataran Putrajaya hari ini bagi menzahirkan rasa kecintaan kepada negara.

Memecah keheningan seawal 1 pagi, lautan manusia membanjiri setiap sudut di sekitar Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan tanggal bersejarah, genap 66 tahun negara mencapai kemerdekaan hari ini.

Bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, ia bertepatan dengan kerangka visi baharu buat negara Malaysia Madani, yang didukung Kerajaan Perpaduan dan dilihat berupaya menyemarakkan semangat perpaduan yang terjalin sekian lama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut melambai ke arah orang ramai dan disambut dengan sorakan pengunjung.

Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.

Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Ridhwan Mohd Asri.

Ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi paluan gendang dan disahut laungan “Malaysia MADANI” sebanyak tiga kali, bergema di Dataran Putrajaya yang kali terakhir menjadi hos sambutan hari bersejarah itu pada 2019.

Selain perdana menteri, dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu.

Sebagai langkah mempromosi warisan batik Malaysia, Jemaah Menteri dan tetamu kehormat antaranya memperagakan batik khas bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya rekaan Kraftangan Malaysia. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *