JAKARTA: Indonesia akan menganjurkan Festival Budaya Budayaw ke-4 di Makassar, Sulawesi Selatan dari 1 hingga 5 Sept, bagi mempromosi warisan budaya empat negara ASEAN, lapor Agensi Berita ANTARA.
Empat negara itu adalah ahli BIMP-EAGA (Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Filipina).
“Bersama-sama, kita menyumbang kepada keamanan dunia,” kata Ketua Pengarah Kebudayaan di Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi, Hilmar Farid, di Jakarta pada Selasa.
Festival itu kali pertama berlangsung di Filipina pada 2017, diikuti di Malaysia pada 2019 dan terakhir secara dalam talian oleh Brunei Darussalam pada 2021.
Tahun ini, festival itu bertemakan “Kepelbagaian Budaya untuk Kehidupan Lestari.”
Farid berkata festival ini berperanan sebagai wadah untuk memelihara budaya dan warisan budaya yang mampan sebagai ilmu, selain memberi impak ekonomi kepada penggiat budaya dan masyarakat.
Selaku pengerusi kluster sosiobudaya dan pendidikan festival itu, Farid berkata Indonesia memain peranan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara komuniti dan pertukaran budaya dalam kalangan negara anggota BIMP-EAGA.
Perkataan “Budayaw” adalah gabungan dua perkataan, iaitu “budaya,“ yang bermaksud budaya dalam bahasa Indonesia dan Melayu, dan “dayaw,“ yang bermaksud “mempersembahkan dengan bangga” dalam bahasa Filipina.
Pada Festival Budaya Budayaw ke-4, empat negara akan menampilkan beberapa siri acara, termasuk bengkel, pameran, persembahan seni, dialog, dan lawatan kebudayaan.
Setiap negara akan menghantar maksimum 20 peserta, termasuk penari, pemuzik, pempamer dan penceramah bengkel.
Pameran itu akan berlangsung dari 2 hingga 4 Sept di Muzium La Galigo, Fort Rotterdam, Makassar.
Semasa pameran ini, setiap negara akan mempamerkan produk budaya unggul berkaitan warisan maritim dan Laluan Rempah Ratus (Spice Road).
Bengkel masakan dijadualkan pada 3 September 2023.-Bernama
