PUTRAJAYA: Program Felo Perdana memberi peluang kepada golongan belia yang terpilih untuk memahami cara kerja Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (gambar).
Beliau berkata belia yang menyertai program itu juga akan didedahkan dengan konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita harap belia dapat ikuti program ini dan akan memahami konsep dan cara kerja Kerajaan Perpaduan yang baharu dan mereka akan selami konsep Malaysia MADANI dalam laksanakan tugas mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Felo Perdana oleh perdana menteri di sini hari ini.
Seramai 56 orang Felo telah dipilih pada tahun ini dan memulakan tugas hari ini hingga 31 Dis 2023.
Pada 19 Jan lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan memperkenalkan Malaysia Madani sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Hanna berkata felo terpilih akan menerima elaun bulanan sebanyak RM2,000 seorang bagi lepasan universiti dan RM1,000 seorang bagi mahasiswa yang masih menuntut di universiti, selain mempunyai cuti dan boleh membuat tuntutan elaun ketika tugasan rasmi yang setara gred 41 dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu, Dinie Dayana Mohamad Azri, 23, yang ditempatkan di Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital berkata dia bersyukur terpilih menyertai program Felo Perdana dan menyifatkan ia sebagai platform untuk mengetahui tentang pentadbiran kerajaan.
“Ini platform sangat berguna untuk kami ketahui inisiatif kerajaan terutama dalam memperkasa belia di negara ini,” kata mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Muhammad Iskandar Mohd Zailani, 23, siswazah dari Universiti Sultan Zainal Abidin pula berkata program Felo Perdana membuktikan kerajaan prihatin mengenai pembangunan anak muda di negara ini.
“Penerusan Felo Perdana ini amat baik dan ia dapat lahirkan pemimpin baik,” katanya yang ditempatkan di pejabat sama seperti Dinie Dayana.
Felo Perdana merupakan program berbentuk mentoring dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara.
Peserta felo yang terpilih akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada ahli Jemaah Menteri dengan nisbah dua orang bagi setiap menteri dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Sejak diperkenalkan pada 2013, seramai 763 felo telah terpilih untuk menyertai program berkenaan.
Majlis penyerahan felo itu turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, ahli jemaah menteri termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. -Bernama
