Tiga lelaki didakwa susulan rampasan 560 kg kokain di Australia

Tiga lelaki didakwa susulan rampasan 560 kg kokain di Australia

SYDNEY: Tiga lelaki didakwa di Australia kerana mengimport ratusan kilogram kokain ke negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pihak berkuasa pada Jumaat.

Polis mendakwa ketiga-tiga mereka terdiri daripada anggota sindiket jenayah rentas sempadan yang mengimport dadah terlarang itu ke Australia Barat melalui laut.

Menurut kenyataan Polis Persekutuan Australia, siasatan bermula selepas menerima laporan risikan mengenai sebuah kapal yang mencurigakan.

Kumpulan berkenaan didakwa membeli sebuah bot dan mengambil kokain itu selepas sebuah kapal pengangkut pukal menjatuhkannya ke laut di luar pantai Australia Barat.

Pemeriksaan polis di sebuah kawasan terpencil, kira-kira 570 kilometer barat laut Perth, menemukan kira-kira 560 kg kokain yang dibungkus dengan plastik, kata polis.

Lelaki terbabit berdepan hukuman penjara maksimum seumur hidup jika sabit kesalahan.

Komander Pasukan Sempadan Australia Ranjeev Maharaj berkata pasukan keselamatan aktif memintas dan merampas dadah dalam jumlah yang besar di sempadan.

“Sempadan kami merupakan aset negara yang strategik dan kritikal dan penjenayah perlu tahu bahawa kami akan terus mengesan, menyekat dan mematahkan akiviti jenayah terancang rentas sempadan yang cuba menguji integriti sempadan Australia,“ katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *