PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 34.92 kilogram dadah jenis syabu yang disorok dalam bungkusan teh Cina menerusi Operasi Mekong Dragon di Sungai Kuala Perlis, 4 Ogos lepas.
Pengarahnya Ismail Hashim berkata dadah dianggar bernilai RM1.15 juta itu ditemukan dalam satu guni beras yang ditinggalkan di tepi sungai berkenaan kira-kira 7.30 malam.
“Pemeriksaan pada guni itu menemukan sejumlah bungkusan berwarna keemasan mengandungi teh Cina yang di dalamnya berisi dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan anggota Unit Narkotik JKDM Padang Besar.
Menurut Ismail dadah itu boleh digunakan oleh 174,600 penagih manakala modus operandi yang digunakan oleh penyeludup adalah menggunakan sampan kecil bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Pihak kami mendapat maklumat bahawa bekalan dadah akan mendarat di tepi kawasan perairan sungai sekitar Kuala Perlis dan anggota JKDM turut melakukan pemantauan selama satu jam bagi menanti suspek mengambil dadah yang ditinggalkan itu,” katanya.
Beliau berkata tiada penahanan dilakukan memandangkan tiada individu mengambil dadah itu dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama
