Pendatang asing panjat bumbung, sembunyi elak ditahan

Pendatang asing panjat bumbung, sembunyi elak ditahan

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 90 pendatang asing termasuk lima kanak-kanak dalam Ops Sapu, Selera, Kutip dan Belanja di premis perniagaan serta kawasan perumahan di Manjung, Jumaat lepas.

Pengarah Imigresen Perak Hapdzan Husaini berkata penahanan 62 lelaki, 23 wanita serta lima kanak-kanak itu dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 104 pendatang asing dalam operasi pada 6.30 petang hingga 12.30 tengah malam.

“Ketika pemeriksaan, terdapat beberapa orang warga asing cuba mengelak daripada diperiksa dengan melarikan diri, memanjat bumbung dan bersembunyi di sebalik pintu bilik serta terdapat beberapa orang merempuh anggota operasi yang membuat kepungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendatang asing itu terdiri daripada 66 warga Indonesia, Bangladesh (14), Myanmar (lima), Nepal dan India masing-masing dua serta seorang warga Pakistan, kesemuanya berusia lingkungan setahun hingga 50 tahun.

Menurut Hapdzan mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 (1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat Pas Lawatan.

Beliau berkata kes turut disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pasport 1966.

“JIM juga akan melakukan siasatan ke atas pemilik kediaman dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan warga asing ini berada di dalam premis mereka,” katanya dan menambah orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan agar tindakan sewajarnya dapat dilakukan. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *