PM: Rakyat Kedah tunjuk mahukan perubahan kerajaan negeri yang baharu

PM: Rakyat Kedah tunjuk mahukan perubahan kerajaan negeri yang baharu

GURUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata beliau melihat di mana-mana tempat beliau pergi di Kedah menunjukkan rakyat negeri ini mahukan perubahan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dan boleh membuat kerja untuk rakyat.

“…mahu perubahan negeri Kedah supaya Kerajaan Negeri Kedah yang baharu boleh kerja angkat nasib rakyat di negeri Kedah…saya datang (ke Kedah) bukan nak maki, bukan nak lawan mencarut, bukan nak lawan bodohkan orang, saya datang nak beritahu Kerajaan Perpaduan kita bersama, kita bertekad,“ katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di sini malam semalam.

Anwar berkata beliau sebagai Perdana Menteri tidak mahu bergaduh dengan sesiapa sebaliknya tiba gilirannya untuk bekerja membantu rakyat dengan adil dalam usaha memastikan keamanan negara.

“Saya gaduh buat apa, nak marah apa lagi, nak maki saya, Anwar banduan, Anwar bodoh, Anwar keliru, nak kata apa lagi…saya dah masuk penjara lama, saya kena pukul setengah mati, kena hina tiap-tiap hari, sudahlah…kini giliran saya nak buat kerja nak tolong rakyat.

…saudara (rakyat Kedah) ada tanggungjawab nak Kedah maju atau nak Kedah riuh, tin kosong? Nak bela nasib rakyat, petani, nelayan, pekerja dengan pelaburan atau nak gaduh dengan Perdana Menteri?

Nak bergaduh pasal apa, pakat-pakat tolonglah, jadi pilih orang dan calon di sini UMNO, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, baik calon Keadilan atau DAP atau Amanah bawah PH, pastikan mereka menang di Kedah ini,“ katanya.

Beliau berkata cita-citanya adalah untuk mengangkat balik Malaysia tercinta menjadi gergasi dalam ekonomi dengan tumpuan diberikan terhadap menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.

“Jadi tahun ini Insya-Allah dalam belanjawan kita cuba naikkan dulu (sebelum) awal tahun depan (untuk) penjawat awam…orang tanya ini pekerja kilang, swasta macam mana sedangkan kilang itu untung bilion, gaji swasta rendah. Saya kata tak apa, kita boleh bincang tapi keputusan kita buat apa?

Kita kata satu model gaji yang progresif, maknanya kerajaan akan jimat belanja, simpan sikit duit dan gaji pekerja yang masih rendah, kerajaan akan tampung dan bayar terus sebagai gaji dia, itu rencana kita,“ katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *